Latest Entries »

KISAH JALUT DAN TALUT


Ayat 246 -251 surah al-Baqarah mengisahkan satu kaum Bani Israil yang diceritakan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW, untuk dijadikan iktibar oleh umatnya. Untuk lebih jelas, kisah ini dibawakan sekadarnya mengikut catatan para mufassirin, diantaranya daripada al-Khazin.

Kisah ini mula diceritakan selepas Nabi Musa AS wafat meninggalkan kaumnya iaitu Bani Israil. Orang yang menggantikannya untuk meneruskan syariat Allah yang berpandukan kitab Taurat ialah Yusyak bin Nun.

Dialah khalifah Nabi Musa yang pertama, yang kemudian digantikan pula oleh Kalib in Yuqana sebagai khalifah kedua dan kemudian digantikan pula oleh Hizqil bin Buza sebagai khalifah ketiga.

Setelah beberapa lama Hizqil bin Buza meninggal dunia, Bani Israil mula melupakan agamanya sehingga ada di antara mereka yang bertukar menyembah berhala-berhala. Kemudian Allah mengutus Ilyas kepada mereka.

Ilyas adalah seorang Nabi dan Rasul yang ditugaskan seperti lain-lain Nabi keturunan kaum Bani Israil, supaya mengingatkan kaumnya yang telah melupakan agama yang dibawa oleh Nabi Musa dahulu dan menyuruh mereka mengamalkan semula syariat tersebut.

Kemudian diutus pula Ilyasak, yang juga seorang Nabi dan Rasul. Ia meneruskan syariat Nabi Musa beberapa lama sehingga meninggal dunia.

Demikianlah sehingga beberapa lama sepeninggalan Nabi Ilyasak ini manusia telah berbalik semula kepada berbuat bermacam-macam kejahatan dan meninggalkan agama mereka.

Pada masa itulah timbul satu kaum yang menjadi musuh kepada Bani Israil yang menjajah dan menindas mereka. Musuh itu dikatakan bernama Balthatha, diketuai oleh seorang raja bernama Jalut.

Mereka mendiami tempat yang berdekatan dengan kawasan pantai jajahan Rum, yang terletak di antara Palestin dengan Mesir. Mereka itu juga dikatakan berasal daripada kaum Amaliqah – kaum yang terhitung tua daripada bangsa Arab.

Banyak kawasan negeri Bani Israil yang mereka takluki, anak pinak yang mereka perhambakan dan anak-anak raja yang ditawan. Mereka dikenakan ufti dan cukai, Taurat dirampas sehingga menyebabkan bencana dan kesengsaraan yang amat sangat.

Keadaan demikian berlaku kerana telah lama tidak ada nabi yang diutus seperti yang sudah-sudah. Biasanya seorang Nabi yang akan muncul daripada kaum Bani Israil mestilah berketurunan Nabi pula. Baka-baka yang akan menurunkan Nabi ini telah ramai yang mati.

Hal ini menyebabkan lama tidak dibangkitkan Nabi yang dapat memimpin dan membela mereka daripada kekejaman dan penindasan musuh.

Maka ditakdirkan Allah, ada seorang sahaja yang berketurunan Nabi – itu pun perempuan pula orangnya -  lalu mereka jaga dan pelihara baik-baik. Sampailah masanya perempuan ini mengandung, dia dikurniakan seorang anak lelaki yang kemudiannya dinamakan Syamwil.

Kanak-kanak ini telah dididik dan dibesarkan oleh seorang pendita yang alim dan diajarkannya syariat Nabi Musa serta kitab Taurat, yang akhirnya Allah mengutus Jibril kepadanya untuk melantiknya menjadi Nabi dan menyuruh supaya kaumnya menyembah Allah.

Syamwil telah menyeru kaumnya agar menyembah Allah, tetapi kaumnya itu telah mendustakannya dan mencabarnya supaya ia dapat menunjukkan bukti kenabiannya lalu mereka berkata :

“Utuslah seorang raja untuk kami, supaya kami boleh berperang di jalan Allah” (ayat 246)

Kata-kata mereka meminta bukti atas kenabian Syamwil dengan meminta kepadanya supaya mengadakan seorang raja bagi mereka ini, kerana sebagaimana yang telah diketahui bahawa Bani Israil dewasa itu sedang ditimpa malapetaka, ditindas dan diperkosa oleh musuh yang menyebabkan mereka berpendapat perlu beraja atau ketua yang akan memimpin umat mereka.

Manakala Nabi Syamwil mendengar cabaran kaumnya meminta kepada Allah supaya mengadakan bagi mereka seorang raja, Nabi Syamwil pun berkata :

“Boleh jadi jika diwajibkan ke atas kamu berperang, kamu tidak mahu berperang” (ayat 246)

Nabi Syamwil menyindir kaumnya, bahawa dalam perang itu boleh jadi mereka bersifat pengecut lalu melarikan diri meninggalkan medan perang.

Mereka menjawab  :

“Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?” (ayat 246)

Mereka menceritakan bagaimana kejamnya raja Jalut dan kaumnya yang telah menghalau mereka keluar dari rumah, menawan dan memperhambakan anak-anak raja mereka. Jadi, sudah semestinya mereka akan berperang dan menuntut bela.

Hanya syaratnya, hendaklah mereka beraja dan dengan itu barulah mereka percaya akan kenabian Syamwil. Tetapi Allah SWT telah menempelak pengakuan mereka :

“Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim”. (ayat 246)

Nabi Syamwil memohon kepada Allah SWT supaya mereka dikurniakan seorang raja. Allah SWT mewahyukan bahawa raja mereka bernama Talut. Nabi Syamwil telah membawa Talut ke hadapan pembesar Bani Israil untuk mengisytiharkan perajaannya, lalu berkata :

”Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu”. (ayat 247)

Mereka tertanya-tanya, bagaimana Talut boleh menjadi raja, setahu mereka setiap Nabi Bani Israil tidak akan dibangkitkan melainkan mestilah keturunan Lawi bin Yaakub dan setiap raja Bani Israil tidak akan dinagkitkan melainkan daripada keturunan Yahuza bin Yaakub.

Lawi dan Yahuza dua rumpun anak Nabi Yaakub bin Ishak bin Ibrahim yang menjadi sumber kemegahan Bani Israil. Daripada rumpun Lawi, terbitlah Nabi Musa dan Nabi Harun AS. Daripada rumpun Yahuza, terbitlah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman AS yang menjadi raja besar Bani Israil disamping menjadi Nabi.

Tetapi Talut ini tidaklah lahir daripada kedua-dua rumpun tadi bahkan beliau adalah keturunan Bunyamin bin Yaakub. Berdasarkan adat dan tradisi lama inilah mereka menolak Talut untuk menjadi raja mereka. Kata mereka :

“Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih menjadi raja daripadanya, dan ia pula tidak diberi harta kekayaan yang banyak?” (ayat 247)

Dengan kenyataan ini, jelaslah bahawa merek masih mengagung-agungkan keturunan dan kekayaan harta benda untuk melayakkan diri menjadi seorang raja.

Maka berdasarkan pendapat dan kebiasaan kaum Bani Israil ini, masih ramai yang terpengaruh dan berpegang dengan adat lama bahawa jawatan pimpinan, ketua negara, atau raja yang memerintah adalah merupakan warisan turun temurun yang tidak boleh diwarisi oleh orang lain.

Pendapat sebegini disangkal oleh Allah SWT :

Nabi mereka berkata : “Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dengan ilmu pengetahuan dan tubuh badan yang kuat”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya. (ayat 247)

Ertinya Allah SWT memilih Talut sebagai raja mereka bukanlah sesuatu yang sia-sia, bukan atas dasar keturunan atau kekayaan tetapi di atas kekuasaan dan kehendak Allah SWT dengan kurnia ilmu dan kekuatan tubuh badan yang dimiliki oleh Talut.

Talut

Diceritakan bahawa Talut itu nama gelaran dalam bahasa Ibrani kerana susuk tubuhnya yang besar dan tinggi. Dialah di antara orang yang paling tinggi pada zamannya menurut ukuran kepala dan bahunya.

Nama Talut yang sebenar ialah Sawal bin Qais dari rumpun Bunyamin bin Yaakub. Kerjanya menyamak kulit binatang dan ada riwayat lain mengatakan ia sebagai tukang air yang memberi minum keldai.

Pada suatu hari keldai kepunyaan ayahnya hilang tersesat dan Talut pergi mencarinya. Ia lalu di hadapan rumah Nabi Syamwil untuk bertanyakan sekiranya Nabi itu tahu akan hal keldainya.

Sedang ia berada di rumah tersebut, tiba-tiba mendidihlah minyak yang tersimpan di sebuah tanduk binatang yang sentiasa diperhatikan oleh Nabi Syamwil setiap kali ada orang masuk ke rumahnya.

Ini kerana ketika Allah mewahyukan kepadanya tentang orang yang bakal menjadi raja, Nabi Syamwil telah dibekalkan dengan sebatang tongkat dan sebuah tanduk berisi minyak. Sekiranya ada orang yang masuk ke dalam rumahnya dan didapati minyak itu mendidih, itu adalah isyarat bahawa yang masuk itu ialah orang yang dijanjikan sebagai bakal raja.

Apabila Nabi Syamwil melihat minyak yang di dalam tanduk itu menggelegak, lalu diambilnya tongkatnya kemudian diukur dan didapati sama tinggi dengan Talut.

Yakinlah Nabi Syamwil bahawa Talut inilah orang yang bakal menjadi raja setelah melihat kebenaran tandanya. Lalu minyak itu pun disapukan ke kepala Talut dan diangkat menjadi raja Bani Israil di hadapan khalayak ramai.

Inilah Talut, raja yang dilantik dengan kehendak Allah SWT yang berasal daripada tukang menyamak kulit atau tukang air yang memberi minum kepada keldai. Bukanlah ia daripada keturunan raja-raja dan bukan pula daripada golongan orang kaya atau berharta.

Allah SWT hanya mengurniakan kepadanya ilmu pengetahuan, kepintaran dalam pemerintahan dan muslihat peperangan, dan mengurniakan pula kepadanya tubuh yang sasa, besar, tinggi dan penuh dengan kekuatan.

Allah SWT mengurniakan kerajaanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Bani Israil kemudiannya bergegas hendak berperang melawan musuh. Mereka terdiri daripada 70 ribu askar diketuai oleh Talut sendiri. Mereka melalui padang yang panas terik dan tidak berair.

Mereka gelisah bagaimana boleh menentang musuh dalam keadaan mereka kehausan dan kekurangan air. Mereka merayu agar raja mereka memohon air kepada Allah SWT.

“Bahawasanya Allah menguji kamu dengan sebatang sungai. Sesiapa yang minum airnya maka ia bukanlah daripadaKu, dan sesiapa yang tidak meminumnya sesungguhnya ia adalah pengikutku kecuali mencedok minum dengan tangannya. (ayat 249)

Apabila amaran ini telah diberikan kepada askarnya, bertemulah mereka dengan sebatang sungai – iaitu Sungai Palestin. Amaran ini menjadi ujian adakah mereka sebagai tentera mempunyai tatatertib, patuh kepada arahan dan pimpinan atau tidak.

“Maka mereka pun meminum air sungai itu kecuali sedikit sahaja daripada mereka yang tidak minum atau meminum secedok sahaja”. (ayat 249)

Diriwayatkan bilangan tentera Bani Israil yang melanggar arahan dengan meminum air sungai itu sangat ramai. Antara 70 ribu itu, hanya tinggal sekitar tiga ratus orang sahaja yang taat perintah ketua iaitu mereka yang beriman yang patuh kepada ketua.

Orang yang meminum hanya secedok, hilanglah haus mereka. Binatang tunggangan mereka juga cergas dan mereka dapat menyeberangi sungai untuk meneruskan perjuangan.

Sementara yang banyak minum semakin lemah, pucat dan kecut hati sehingga tidak berani untuk berperang.

Mengenali Tokoh Kemerdekaan – Dr Borhanuddin al-Helmy


Sempena merdeka ini, ada baiknya juga kalau kita memahami serba sedikit tentang seorang tokoh pejuang kemerdekaan Tanah Melayu yang banyak berjasa kepada kita. Dengan memahami dan mengenali tokoh ini, semangat juang dan patriotik kita pasti akan lebih teruja daripada kita sibuk tak tentu pasal mengibarkan Jalur Gemilang di motor kapcai masing-masing, padahal isi dalaman kita macam tong kosong. Dan sebagai ramuan tambahan, kita juga akan lihat sepintas lalu sejarah parti-parti politik di tanah air kita.

Walau bagaimana pun, separuh dari tulisan saya kali ini adalah bergenre kopi-dan-pasta (copy paste) sebab enjin idea dan tulisan saya lambat benar nak panas dek kerana lama tak menulis. Tokoh yang saya maksudkan di sini adalah Dr Burhanuddin al-Helmy. Antara mutiara kata beliau yang selalu disebut-sebutkan orang ialah: “Di atas robohan kota Melaka kita dirikan jiwa merdeka.”

Dr Burhanuddin ini adalah seorang tokoh agama yang disegani di zaman pra dan pasca-kemerdekaan. Kalau zaman tersebut sudah ada istilah Protaz, maka layaklah beliau menyandang gelaran tersebut memandangkan beliau juga adalah seorang doktor homeopati. Tetapi kita patut bersyukur kerana beliau tidak memperjuangkan benda yang remeh-temah seperti kebanyakkan protaz hari ini.

Dr Burhanuddin adalah antara orang-orang kuat dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada 17 Oktober 1945. Antara tokoh-tokoh penting yang lain dalam PKMM ialah Pak Sako, Mokhtaruddin Lasso, dan Ahmad Boestaman. PKMM adalah parti kedua di Tanah Melayu yang memperjuangkan nasib orang-orang Melayu. Parti pertama adalah Kesatuan Melayu Muda, KMM yang ditubuhkan pada tahun 1938. Sesetengah orang salah faham dengan menganggap UMNO adalah parti pertama yang membela nasib bangsa Melayu. Padahal begitu banyak lagi parti-parti Melayu sebelum UMNO seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Majlis Agama Tertingga Se-Malaya (MATA), dan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS) yang menjadi sayap utama kepada PKMM.

Tetapi malangnya, kita seolah-olah hanya melihat jasa UMNO tanpa mengetahui jasa-jasa yang ditaburkan oleh parti-parti dan pejuang-pejuang yang sebelumnya. Tanpa hembusan api patriotik dari mereka, UMNO ketika itu pasti tidak boleh berjaya. Namun, kita tetap lupa. Tepat apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir: “Melayu mudah lupa”. Dan oleh kerana UMNO adalah parti utama orang-orang Melayu hari ini, maka makin ramai ahli-ahlinya yang semakin lupa kepada sejarah tepat bangsa kita yang semakin membonyot layu ini.

Berbalik kepada kisah Dr Burhanuddin al-Helmi ini, beliau telah mengalami sepak terajang kemelut kemerdekaan yang berbagai-bagai, seperti dituduh sebagai radikal dan bersifat pengganas oleh British. Malah pada tahun 1948, ramai ahli PKMM dan API yang ditangkap dan dipenjarakan. Dipendekkan cerita, Dr Burhanuddin al-Helmi ini juga merupakan Presiden PAS yang ke-3 selepas Dr Hj Abbas Alias.

Jadi, apa perkara pokok yang saya ingin bawa sebenarnya dengan mendedahkan kisah Dr Burhanuddin al-Helmi dan sejarah parti politik tanah air secara sepintas lalu ini?

1) Kalau nak berjuang untuk Islam, pastikan bukan berkaitan perkara yang sangat remeh-temeh. Berjuang biar betul-betul. Kita lihat Protaz Prof Dr Burhanuddin. Beliau tahu apa prioriti zamannya, iaitu mendapatkan kemerdekaan. Sebab kalau Tanah Melayu tak merdeka, habis punah akidah anak-anak Islam. Dan habis juga kekayaan Tanah Melayu diambil oleh si puak penjajah. Sekarang kita lihat zaman kita pula. Apakah prioriti kita? Kita jangan terikut-ikut style Protaz zaman sekarang yang kadang-kadang tu mengarut-ngarut idea perjuangannya.

2) Ketahui sejarah kita yang sebenarnya. Jangan fanatik dengan mana-mana parti, baik PAS, UMNO, Keadilan, Gerakan, MCA, MIC, dan sebagainya. Pastikan kita faham dan selidik terlebih dahulu kenapa kita memillihnya. Jangan main ikut-ikut orang. Pendirian jangan ala-ala lalang ditiup angin.

3) Ketiganya, Dr Burhanuddin al-Helmi adalah seorang tokoh terbaik untuk memberikan kefahaman kepada kita semua mengapa kaum muda/’Salafi’/Wahhabi (atau apa pun kamu nak panggil sebab nama tak mengubah apa-apa), bukanlah pilihan terbaik untuk kita mengembangkan Islam ini di seantero dunia. Artikel di bawah ini, yang saya petik dari blog Malakian, amat menarik untuk kita semua baca:

Bagi memudahkan mendekati ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya bagi mencari ilmu di zaman kebendaan dan ilmiah ini, eloklah lebih dahulu mempelajari ilmu fizik kemudian pelajari ilmu metafizik atau maa wara’a al-taba’ah, ilmu falsafah dan ilmu perbezaan antara agama-agama.

Dalam hal ini rasanya eloklah saya ceritakan sedikit hal-hal saya dengan tasawwuf ini. Ayahanda saya adalah seorang tasawwuf dan bertariqah Naqshabandi serta dengan lurus dan wara’nya. Maka saya dari kecilnya dilatih secara wara’nya dan mesti kuat beribadat mengikut-ngikut dia sembahyang berjamaah, membaca Quran dan [Maulid karya] al-Barzanji, ahzab dan zikir. Sebagai orang muda tiadalah saya tahu apa-apa. Saya ikut-ikut itu kerana malu dan segan jua. Saya lakukan dengan berat kerana kawan-kawan lain dapat lepas dan bermain-main saya tidak.

Bila saya lepas belajar ke luar, di Indonesia, dapat saya belajar bahasa Belanda dan guru-guru agama saya pula ‘ulama-ulama’ kaum muda dan berfaham progresif dalam Islam, maka fikiran saya terbentuk dengan membaca keterangan-keterangan moden dan majalah-majalah moden seperti al-Manar dan al-Fath. Saya pelajari ilmu-ilmu usul fiqh, usul al-ahkam, mazahib al-arba’ah (mazhab empat) dan membaca kitab-kitab Bidayah al-Mujtahid, Subul al-Salam, kitab-kitab [Syeikh al-Islam] Ibn Taimiyyah, Ibnu al-Qayyim, al-Shaukani, [Syeikh] Abdul Wahhab al-Wahhabi (yakni [Syeikh] Muhammad Abdul Wahhab), al-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Rida dan akhirnya Tantawi. Saya pun terbalik bertentang dengan ayah saya dalam pendirian. Saya memusuhi jumud kolot.

Pada saya, tasawwuf dan tariqatnya itu suatu ajaran mematikan semangat dan campur-aduk dengan bid’ah. Pada saya kitab tasawwuf seperti karangan Imam Ghazali (w.505H/1111M) itu saya pandang seperti madu bercampur racun, kerana saya pandang dari segi bahas fiqh, tafsir dan hadith tidak kuat menurut kaedah rawi dan sebagainya. Ini berlaku di antara 1927 hingga tahun 1940. Pendeknya ilmu tasawwuf saya ketepikan. Nafsu saya tidak mahu langsung kepadanya, apa lagi sebagai seorang wartawan muda pada tahun 1937 saya keluarkan majalah Taman Bahagia lalu tertangkap kerana saya didapati oleh penjajah berpolitik tegas dan berbahaya kepada penjajah dan akan membangkitkan kesedaran rakyat, hinggalah sekarang ‘Malaya jadi Palestin kedua’ masih kedengaran diperkatakan orang.

Maka saya di India saya dapat mempelajari bahasa Inggeris dan Perancis, dan dalam mempelajari ilmu-ilmu kedoktoran homeopati asas Belanda memudahkan saya mempelajari bahasa Jerman. Kemudian masuklah saya ke dalam perguruan psikologi-metafizik, ilmu al-ruhani juga falsafah dan perbezaan-perbezaan agama besar di dunia ini. Apabila menyusun-nyusun tesis untuk kedoktoran failasuf (Ph.D) maka terpaksalah saya berfikir mendalam mengambil di mana titik berat, inti sari dan pati punca perbezaan dan perbalahan. Maka termasuklah membahaskan berkenaan dengan sufi itu termasuk dalam falsafah. Saya pelajari sufi dari bahasa-bahasa Eropah. Terpaksalah balik saya mengenal al-Ghazali, al-Badawi, al-Rifa’i, al-Rumi, al-Qushairi, Ibnu ‘Ata’illah dan lain-lain serta rujuk kitab-kitab Eropah itu kepada kitab Arab maka barulah saya mencari kitab-kitab Arabnya pula.

Kemudian setelah saya siasati kedatangan Islam ke Nusantara kita ini dan datuk nenek kita memeluk agama Islam yang hanif (yang lurus-peny.) ini terutamanya kesan-kesannya ialah daripada ‘ulama-ulama ‘Syafi’i dan ‘ulama-ulama’ tasawwuf, sama ada ‘ulama-ulama’ itu datang secara saudagar atau secara muballigh; bukan masuk melalui ‘ulama-ulama’ fiqh, Islam masuk di Nusantara kita ini berkembang tidak dengan kekerasan atau paksa tetapi dengan kemahuan hati dan pilihan jua yang dapat mengatasi agama Hindu dan Buddha [se]bagaimana yang diperjuangkan oleh wali songo di Jawa dan lain-lain kepulauan maka beransur-ansur nampaklah saya kesenian ilmu tasawwuf.

Hebatlah sungguh perlawanan di dalam diri saya sendiri pertentangan-pertentangan yang saya katakan dahulu itu tasawwuf kolot dan jumud dengan Islam progresif dan saintifik.

Bila kita halusi intisari alam metafizik dan pengertian alam mithal yang diterangkan ‘ulama-ulama’ tasawwuf dipandang dari bahas ilmiah hari ini nampaklah kita di mana ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya.

(Dipetik daripada buku Simposium Tasawwuf dan Tariqah oleh Prof. Dr. Burhanuddin, hlm. 35-38)

Ustaz Fadhil Noor


Presiden PAS Ustaz Dato Fadzil Noor meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada jam 10.30 pagi 23 Jun 2002.

YB Ustaz Dato’ Hj Fadzil @ Ali bin Mohd. Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Setar, Kedah.

Sejarah awal pendidikan Ustaz Dato’ Hj. Fadzil Mohd. Noor bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran di peringkat menengah di Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama hingga tahun 1962.

Tahun 1963 beliau telah menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dengan mendapat biasiswa kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperolehi ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut.

Ustaz Dato’ Hj Fadzil Mohd. Noor telah mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Setar, Kedah. Kemudian setelah berkahwin turut bersama melanjutkan pelajaran ke Al-Azhar bersama suaminya.  Hasil perkahwinan beliau dikurniakan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna’izzah, Muhamad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas.

Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah bahagian pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978.

Beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah.

Walau bagaimanapun, pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM dianggap tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali bertugas sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau telah meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam PAS.
Selain aktif dalam politik, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Negeri Kedah.

Beliau pernah menganggotai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan memegang jawatan Setiausaha Penerangan Pertubuhan itu tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presiden ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA. Selain itu beliau juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974.

Beliau melibatkan diri dalam politik PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai Exco PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah meyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983.

Tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS tahun 1989 sehingga sekarang dengan gelaran Presiden PAS.

Pembabitan awal Ustaz Dato’ Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah.

Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN kawasan tersebut.

Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan raya Umum 1995.

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd. Mokhtar Abdullah dengan majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Hj. Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan terbaru pada Pilihan raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414.

Hingga jam 10.30 pagi pada 23 Jun 2002, apabila Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, Ustaz Dato’ Hj. Fadzil Mohd. Noor telah menerajui kepimpinan PAS dan diamanahkan sebagai Presiden parti.

Kronologi saat perpisahan beliau

22 Jun 2002

10.30 malam berita keadaan yang mencemaskan mengenai Allahyarham diterima.

23 Jun 2002
1.30 pagi keadaan Allahyarham dapat distabilkan.

7.00 pagi berita Allahyarham sedang nazak telah diterima.

10.30 pagi berita sedih pemergian Allahyarham kita semua terima dari HUKM.

11.30 pagi jenazah Allahyarham dibawa ke bilik mayat untuk dimandikan, diwaktu inilah kita lihat ribuan rakyat telah memenuhi HUKM.

12.30 petang jenazah di bawa ke Surau Taman Jaya (bersebelahan HUKM) dengan diiringi dengan laungan takbir serta tahlil disepanjang jalan yang lebih 10,000 orang mengiringinya.

12.45 petang jenazah dilawati oleh Dymm Sultan Kedah dan telah disolat jenazah sebanyak 6 kali sebelum masuk waktu zohor. Dimana setiap kali solat jenazah lebih 3,000 orang menjadi makmumnya.

1.45 petang rakan-rakan bukan Islam dan muslimah dibenarkan melawat jenazah di surau taman jaya.

2.30 petang jenazah dibawa ke lapangan terbang TUDM subang dengan diiringi oleh ribuan kenderaan dan dimaklumkan lebih 5,000 pendokong BA telah berada di Subang.

2.55 petang jenazah sampai di Subang, dengan sambutan takbir, suasana sungguh pilu kerana rakyat marhaen dengan jumlah lebih 10,000 orang mengiringi jenazah Allahyarham dari HUKM ke Subang.

3.15 petang maklumat diterima DSAI telah dibenarkan untuk melawat Allahyarham di Subang, Usaha Nurul Izzah dan Nurul Nuha berbincang dengan Pak Lah di Subang telah berjaya untuk membawa DSAI ke Subang. Penerbangan 3.30 petang telah ditangguhkan untuk menunggu DSAI tiba dari Sungai Buluh.

4.40 petang memandang DSAI lewat tiba dan waktu sudah terlalu lewat, Pesawat TUDM dengan membawa lebih 100 penumpang telah berlepas tepat jam 4.40 petang dari lapangan terbang Subang ke Kepala Batas.

6.00 petang jenazah tiba di lapangan terbang Kepala Batas dengan disambut lebih 20,000 rakyat marhaen dan terus di bawa ke Darul Ulum di Pokok Sena, apa yang dimaklumkan lebih 100,000 orang telah menunggu di Pokok Sena.

7.00 petang dengan bantuan pihak polis dan kerjasama orang ramai jenazah selamat ditiba di Darul Ulum, walaupun jalan raya kesesakkan teruk lebih 20 km, kesan kesesakkan tersebut telah bermula dari Tol-tol yang menghala ke Kedah, dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke Darul Ulum sejauh 10 km.

7.45 malam selepas solat maghrib dianggarkan lebih 250,000 rakyat marhaen telah berada di Pokok Sena untuk memberikan penghormatan terakhir ke Allahyarham.

8.30 malam maklumat yang diterima dari jarak 3km ke Darul Ulum telah tidak boleh dimasuki oleh orang ramai lagi, keadaan amat sesak dan padat. Apa yang dimaklumkan ada penyokong BA yang berjalan kaki sejak 6.30 petang ke Darul Ulum gagal sampai kerana keadaan sesak tersebut.

9.15 malam jenazah Allahyarham telah diusung ala intifadha dari Darul Ulum ke tanah perkuburan dengan diiringi laugan takbir yang bergempita seluruh Pokok Sena dan sayup-sayup kedengaran sambutan takbir tersebut dari para jamaah yang tidak sampai ke Darul Ulum.

9.30 malam jenazah selamat dikebumikan.

10.00 malam upacara bacaan talkin dan tahlil selamat dilaksanakan ditanah perkuburan di hadapan Darul Ulum.

10.30 malam rakyat marhaen datang bertali arus untuk menziarahi kubur Allahyarham, dan dijangkakan menjelang pagi ini masih ramai yang terus menziarahi serta sedekah bacaan yassin dikubur Allahyarham.

11.00 malam kami keluar dari kawasan Darul Ulum dengan bantuan unit amal yang memberikan kerjasama kepada kami melalui jalan lain.

Kini telah terbukti seorang pemimpin Islam yang dikasih pasti telah menunjukkan berkatnya di dunia lagi. Tidak pernah terjadi dalam sejarah Malaysia, lebih 300,000 orang hadir dalam majlis pengkebumian seorang pemimpin. Allahyarham Datuk Hj.Fadhil Nor adalah insan yang bertuah kerana ratusan ribu rakyat marhaen hadir untuk memberi sedekah Al-Fatihah dan sama-sama solat ke atas jenazah beliau.

Hari ini Malaysia dan segala isi penduduknya pasti kehilangan seorang pejuang Islam, walaupun kepimpinan beliau dibenci oleh musuh politik, tapi Allah swt telah menunjukkan kepada umatnya Allahyarham adalah insan kerdil yang akan ditempatkan bersama para mujahid dan para syuhada di alam barzah.

Al-Fatihah untuk roh Allahyarham dan takziah kepada keluarga beliau serta pemimpin Parti Islam Semalaysia (PAS) serta BA. Semoga Allah swt akan mengampunkan dosa-dosa Allahyarham serta ditempatkan bersama para syuhadah.

Semoga ini akan memberikan kita keinsafan serta kembali kejalan Islam yang sejati lagi hakiki.

Jom Buke Pose



Pada 14hb Jun 2010 (Isnin) bersamaan dengan 1 Rejab 1431H yang lalu PAS telah kehilangan sebutir permata yang boleh dianggap sebagai kamus bergerak  PAS iaitu, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri, 71. Allahyarham meninggal dunia dan menemui penciptanya ketika PAS berada di puncak kejayaan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat (PR). Allahyarham telah menghabiskan seluruh usianya dengan perjuangan semenjak diusia belasan tahun.


Latarbelakang

Ustaz Haji Hassan Shukri dilahirkan pada, 11hb Oktober 1938 di Kampong Sepintas Sabak Bernam, Selangor.

Allahyarham  mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sabak Bernam sehingga tamat darjah enam. Kemudian allahyarham telah melanjutkan pelajaran ke Maahad Yahyawiyah, Padang Renggas, Perak pada tahun 1956 sehingga tahun 1960 dan telah memperolehi Rabi’ Thanawi.

Manakala pada tahun 1968, beliau telah mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Baghdad, Iraq dalam bidang Perundangan Islam dan Kesusasteraan Arab, bersama-sama 10 orang rakannya antaranya ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Ustaz Hashim Jasin, Bekas Mufti Pulau Pinang, Dato’ Sheikh Azmi Ahmad dan Ustaz Jaliluddin Abd Wahid. Setelah bertungkus lumus selama empat tahun Allahyarham berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalan bidang berkenaan dan kembali ke Tanah Air.

Rumahtangga

Ustaz Hassan Shukri, telah mendirikan rumahtangga dengan seorang guru, Ustazah Hamidah Talib dan telah dikurniakan seramai 6 orang cahaya mata. Lima perempuan dan seorang lelaki.


Mula menyertai PAS

Ustaz Hassan mula menyertaannya PAS secara tidak rasmi sewaktu berusia 14 tahun pada 1951 dan pernah dilantik memegang jawatan sebagai Setiausaha Ranting PAS Padang Renggas Perak.

Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Perak pada tahun 1962 sehingga tahun 1964. Manakala pada tahun 1968-1970 diamanahkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) DPP Pusat sebelum dipilih sebagai Naib Ketua DPP Pusat pada tahun 1970-1971.

Kemudian Allahyarham telah dilantik sebagai Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) pada tahun 1970-1971 apabila ketua Ustaz Jaiz Anwar (Allahyarham) meletak jawatan kerana melanjutkan pelajaran ke luar Negara. Manakala pada tahun 1971 – 1973 beliau telah diamanahkan sebagai Ketua DPP Pusat.

Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS dan telah berkhidmat kepada tiga orang Presiden PAS iaitu Dato’ Mohd Asri Haji Muda (Allahyarham Tan Sri), Tuan Guru Haji Yusof  Rawa (Allahyarham) dan Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor (Allahyarham).

Sebelum dipilih sebagai Naib Presiden PAS pada tahun 1987 sehingga tahun 2003. Manakala pada tahun 2003 sehingga tahun 2005 beliau telah diamanahkan sebagai Timbalan Presiden PAS.

Diperingkat Negeri pula, Allahyarham pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1979 sehingga tahun 1982 dan pada tahun 1994 sehingga tahun 2003.

Selain itu, Allahyarham juga pernah memegang pelbagai jawatan dalam PAS antaranya ialah Ahli Jawatankuasa Kerja(AJK) PAS Pusat (tahun 2003 sehingga tahun 2005), Naib Ketua Dewan Ulama’ PAS (DUP) Pusat, Naib Ketua DUP Negeri Selangor dan Ahli Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat dari tahun 1980 sehingga Allahyarham meninggal dunia.



Bertanding Dalam Pilihanraya

Beliau pernah diamanahkan oleh parti bertanding dalam Pilihanraya Umum (PRU) antaranya di Parlimen Sabak Bernam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Besar pada tahun 1969. Manakala pada tahun 1986 beliau telah diamanahkan sebagai calon PAS di Parlimen Batu.

Selepas PAS memperolehi kemenangan di Negeri Terengganu pada tahun 1999 beliau telah dilantik oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, sebagai Ahli Dewan Negara dan telah berkhidmat selama 2 penggal dari tahun 2000 sehingga tahun 2006.

Berkhidmat Dalam Kerajaan

Semasa PAS bergabung didalam Barisan Nasional (Bn), Allahyarham pernah dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiyyah Malaysia (YADIM) dan Ahli Lembaga Majlis Agama Islam Wilayah Persekituan.


Jasa dan Kegigihan

Diantara jasa Ustaz Hassan Shukri yang besar di dalam PAS ialah pembinaan Markaz Tarbiyyah PAS Pusat yang terletak bersebelahan dengan rumahnya. Bermula dengan modal RM20,000, beliau membeli sebidang tanah di situ, sebagai tapak awal untuk membina markas.

Kemudian beliau berbincang pula dengan Yang Dipertua PAS, Allahyarham Yusuf Rawa, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin dan Naib Presiden PAS ketika itu, Ustaz Nakhaei Ahmad (sekarang Dato’) untuk mereka sama-sama membeli tanah dengan harga sekitar RM26,000 bagi meluaskan kawasan markas sekitar tahun 1982. Selain menerima sumbangan wang, markas itu turut didirikan secara bergotong royong pada peringkat awalnya.

Kemudian dengan kebijaksanaan Hassan, beliau mengarahkan setiap satu cawangan PAS menyiapkan satu tiang bangunan tanpa menggunakan jengkaut untuk menggali lubang tapak asas.

Allahyarham juga dikenali sebagai Buku Perlembagaan bergerak PAS, kerana Allahyarham bukan sahaja terlibat dalam merangka Perlembagaan PAS tetapi boleh menghafal setiap Fasal yang terdapat di dalam Buku Perlembagaan PAS. Maka tidak hairanlah jika sekiranya berlaku apa-apa masalah beliau telah dijadikan sebagai Pakar rujuk untuk menghuraikan segala permasalahan tersebut.

Satu kegigihan Allahyarham yang boleh dijadikan sebagai contoh kepada pimpinan PAS dipelbagai peringkat ialah dari segi masa. Allahyarham sangat menepati masa apabila menghadiri pelbagai program yang melibatkannya walaupun ketika itu, Allahyarham hanya dijemput sebagai tetamu.

Semasa hayatnya, Allahyarham juga seringkali dilihat sering menggalas mesin pemotong rumput untuk menebas rumput yang tumbuh dihadapan rumahnya dan disekitar Markaz PAS Taman Melewar.

Jasa dan pengorbanannya kepada PAS memang tiada siapa yang boleh menyangkal, lantaran itu sebuah jalan di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat menuju kerumahnya dinamakan dengan namanya iaitu Lorong Haji Hassan.


Pemimpin Yang Ikhlas Dan Komited

Allahyarham adalah merupakan seorang pemimpin yang benar-benar ikhlas mengabdikan diri dalam perjuangan. Walaupun dalam keadaan susah dan senang jiwanya tetap bersama-sama dengan PAS.

Allahyarham pernah menceritakan pengalamannya sewaktu hendak menghadiri ceramah, ketika itu, Allahyarham dan rakannya tidak mempunyai wang untuk menghadiri ceramah tersebut tambahan pula minyak keretanya sudah habis. Tetapi dengan tawakal beliau dan rakannya terus pergi menghadiri undangan ceramah tersebut. Berkat doa dan bantuan Allah, beliau sampai ditempat ceramah dengan selamat.

Walaupun belia tidak lagi memegang jawatan utama dan parti, beliau terus menghadiri program-program dan majlis-majlis yang memerlukan kehadiran, seolah-olah beliau masih belum bersara lagi daripada politik.

Baginya jawatan bukan landasan untuk bergerak sebaliknya kalau seseorang itu tinggi iltizam kepada

perjuangan oa boleh bergerak atas apa juga kedudukannya. Wibawa dan komitmen beliau bukan kerana jawatan. Dalam hal ini baginya jawatan adalah amanah langsung dari parti dan Allah.

Pendakwah

Allahyarham bukan sahaja terlibat secara aktif dengan PAS, tetapi dalam dunia pendidikan dan dakwah. Allahyarham pernah menubuhkan sebuah Sekolah yang dinamakan sebagai Sekolah Agama Darul Tarbiah sebuah sekolah KAFA yang terletak berhampiran dengan rumahnya.

Allahyarham juga aktif menyampaikan kuliah-kuliah di sekitar masjid dan surau disekitar Taman Melewar dan mempunyai kuliah tetap di Markaz Tarbiah PAS Pusat setiap minggu.


Anugerah

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan kepada ahli dan masyarakat Allahyarham pernah dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N) oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Selain itu, Allahyarham juga pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1430h peringkat Negeri Selangor pada tahun 2009 oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Diperingkat parti pula, Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Selangor telah menganugerahkan kepada beliau sebagai “Tokoh Haji Yusof Rawa” semasa Muktamar DPPN Selangor pada 1 Mei 2010 yang lalu.

Beberapa hari sebelum Allahyarham meninggal dunia DPP Pusat pulah telah menganugerahkan beliau sebagai “Tokoh Pemuda” semasa perasmian Serentak Muktamar Dewan Ulama’ PAS (DUP), DPP dan Dewan Muslimat PAS (DMP) Pusat di Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan (PUTIK) dan telah disampaikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Allahyarham telah menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas pulang daripada menghadiri Muktamar PAS kali ke-56 yang diadakan di Pusat Tarbiyyah Islamiah Kelantan (PUTIK) pada 14hb Jun 2010 yang lalu di Hospital Selayang. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya dan ditempatkan dikalangan para syuhada. Al-Fatihah.

Bahang Pemuda Bersamamu Musim ke 6 mulai terasa


oleh : Ketua Lajnah Kebajikan Pemuda Dun Sura

oleh : Ketua Lajnah Kebajikan Pemuda Dun Sura

Agenda kebajikan sudah pasti semakin rancak dan bertaliarus memenuhi hari-hari sepanjang bulan Ramadhan,bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat yang telah disediakan oleh Allah s.w.t kepada hambaNya yang beriman.

Di antara ibadat yang sangat digalakkkan dalam bulan ini termasuk juga amalan bersedekah buat golongan yang memerlukan di antaranya yang fakir,miskin,kurang upaya dan anak yatim di mana golongan ini tidak harus diabaikan malah perlu diberi perhatian yang lebih bersungguh oleh masyarakat bagi memastikan keperluan dan keselesaan hidup mereka ini lebih terjamin.

Dewasa ini,dalam suasana cengkaman ekonomi yang semakin merosot dan meruncing telah memberi kesan kepada kenaikan harga barang keperluan seperti beras,gula,petroleum,gas LPG serta berbagai lagi barang keperluan lain yang sudah semestinya ianya lebih membebankan dan memeritkan di mana kita semua maklum ianya adalah di antara kegagalan pihak kerajaan pada hari ini mengurus dan mentadbir ekonomi negara yang hanya meninggalkan slogan ‘rakyat didahulukan,pencapaian diutamakan’ternyata hanyalah retorik dan omongan kosong,lebih-lebih lagi dirasai oleh golongan ini.

Menyedari akan situasi ini,justeru pemuda PAS Dun Sura dengan penuh rasa bertanggungjawab dan sikap cakna telah menggerakkan seluruh anggota melibatkan setiap UPU serta cawangan dalam Dun Sura untuk menjayakan program Pemuda BersamaMu musim ke enam.

Program tahunan bagi Pemuda Dun Sura ini telah menjadikannya buah pengalaman yang bernilai setelah dijayakan selama lima tahun berturut –turut sebelum ini pasti akan dijadikan pedoman dan panduan bagi melancarkan serta menjadikan program ini lebih mencapai target sebagaimana sasaran serta objektif seperti yang dirancangkan.

Dalam masa yang terdekat ini,pihak pemuda dun sedang dalam proses merancang dan menyusun strategi di mana bagi fasa pertama ini keperluan untuk mengumpul dana akan digerakkan semaksima mungkin bagi mencapai target dana sebanyak RM15000 untuk diagihkan kepada penerima,sementara untuk fasa kedua pula,sebagaimana biasa menetapkan senarai penerima seterusnya sehinggalah kepada hari pengagihan,iaitu hari turun ke gelanggang pada hari Sabtu,04 September 2010 bersamaan 25 Ramadhan 1431H.

Dengan rasa rendah diri,kami Pemuda Dun Sura sedar bantuan sebanyak Rm100 dan sekampit beras ini memanglah bukan sumbangan yang besar buat penerima sumbangan,tetapi ianya sekadar meringankan serta menzahirkan persaudaraan serta ukhuwah sesama manusia,selaras dengan tema tetap program ini ”Prihatin kami tidak bertepi,membantu sekadar termampu”,juga bagi persiapan menyambut hari Raya di mana mudah-mudahan ianya digerakkan di atas jalan kebajikan serta keperihatinan semoga ianya menjadi satu daripada amal soleh.

Kami menawarkan kepada sesiapa sahaja yang ingin turut mendapat manfaat dan ganjaran pahala untuk menghulurkan sumbangan anda bagi kami menjayakan program Pemuda BersamaMu musim ke 6 ini dengan jayanya.Sebarang sumbangan bolehlah disalurkan ke akauan BIMB 13044010016883 atas nama Tengku Mohd Hisham Tengku Ambak atau juga boleh diserahkan kepada :

Sheikh Hanafi 019 9831330
Amri Hashim 019 9807785
Shaikh Salmin 013 9328211
Yusoff Yaakob 012 4518982
Riduan 012 9665536

PEMUDA BERSAMAMU


Pada hari Rabu 28 Julai 2010 yang lalu, Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Majlis Tindakan (Pemuda) PAS DUN Paka telah mengadakan lawatan ke Cawangan Ketengah Jaya. Rombongan yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS DUN Paka, saudara Ramzi diiringi oleh ketua lujnah kebajikan serta Ketua Pemuda Cawangan Ketengah Jaya, saudara Alfiza.

Lawatan adalah berobjektifkan ziarah ke rumah Timbalan Ketua Pemuda  PAS JPC Ketengah Jaya, saudara Alfira yang diserang penyakit misteri semenjak setahun yang lalu.

Meski pun kelihatan penat, rombongan disambut dengan ceria orang saudara Alfira yang secara kebetulannya baru melangsungkan pernikahannya pada hari Jumaat 23 Julai 2010 di Kampung Bukit Bading, Ajil.

Beliau turut menceritakan serba sedikit berkaitan dengan perkembangan kesihatan beliau kepada ahli rombongan. Kaedah rawatan Islam dipilih setelah pakar kesihatan moden gagal mengesan penyakit beliau yang sebenar, malah beliau diisytiharkan sihat berdasarkan perubatan moden.

Kegigihan beliau terhadap kerja-kerja jemaah terbukti apabila pihak Jawatan kuasa Pemuda Cawangan Ketengah Jaya memilih untuk bermesyuarat di rumah beliau memandangkan keadaannya yang uzur. Malah beliau pernah rebah semasa berkempen di Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang yang lalu.

Beliau yang kini tidak bekerja tetap positif dan sabar serta sentiasa berikhtiar untuk sembuh. Sedikit sumbangan diberikan oleh pihak Pemuda DUN kepada saudara Alfira. Sekiranya ada sahabat-sahabat yang ingin memberikan sumbangan serta nasihat atau rawatan kesihatan bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi pihak Lujnah Kebajikan Pemuda DUN Paka (Muhammad Fauzan – 014 8244650 dan saudara Alfiza – 017 9121312).

Selain daripada itu, rombongan turut menziarah keluarga kepada anggota Pemuda Pas Kerteh 4 yang meniggal dunia beberapa bulan yang lalu serta ke rumah balu Allahyarham Ketua Cawangan PAS Ketengah Jaya, Allahyarham Muhammad bin Abd Ghani.

BAL’AM BIN BA’URA’ : ULAMA’ YANG MATI KUFUR


Tergelincir hati boleh berlaku kepada mana-mana hamba Allah tidak kira walaupun dia seorang wali Allah atau hanya orang biasa yang mana boleh mengakibatkan seseorang itu mati dalam keadaan kufur. Dari cerita seorang pencuri kain kapan yang ditangkap setelah mencuri dari 1000 buah kubur orang Islam. Katanya selepas ditangkap, hanya satu jenazah sahaja yang mengadap kiblat yang lain berpaling dari arah kiblat kerana mereka ini semasa hidup zahirnya saja Islam tapi bathin mereka ini adalah kafir. Pada masa sekarang pun bolehlah kita lihat golongan ini walau pun nama saja Islam, tetapi cara hidup mereka ini bukan mencerminkan seorang Islam.

176. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya Dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika Engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika Engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang Yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.

Menurut Imam Fakhruddin Ar-Razi dan Imam Ibni Khathir, ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki dari Negara Yaman bernama Bal’am bin Ba’ura’. Sebilangan ulama lain menyatakan, Bal’am adalah seorang ahli ibadat yang mempunyai kemakbulan doa dari bangsa Bani Israel.

Menurut cerita daripada Ibnu Abbas, pada zaman Nabi Musa a.s ada seorang alim bernama Bal’am bin Ba’ura. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia khasiat-khasiat nama-nama Allah Yang Maha Besar [ Do'a Bal'am bin Ba'ura mustajab] . Setelah peristiwa firaun dilemaskan dalam laut, Nabi Musa A.S dan bani Israel yang terselamat terus mengembara sehinggakan hamper sampai  dengan negeri tempat tinggal Bal’am. Raja negeri tersebut ketakutan, takut kalau-kalau negerinya diserang oleh kaum yang telah berjaya menewaskan Firaun. Setelah bermesyuarat dengan penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk meminta pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya [berdo'a] untuk mengalahkan Nabi Musa a.s.

Pada mulanya Wali Allah ini menolak permintaan raja negeri tersebut kerana takutkan Allah SWT. Seperti jugak sejarah Nabi Adam as  yang mana iblis pernah menyuruh Nabi Adam memakan buah dari pohon yang dilarang oleh Allah SWT melalui Hawa. Tetapi Nabi Adam a.s terpengaruh dengan Hawa disebabkan  bisikan iblis yang halus itu dan melanggari larangan Allah SWT dan diusir dari syurga dan dibuang ke dunia.

Begitu juga raja negeri tersebut telah menggunakan isteri Bal’am seperti mana iblis menggunakan Hawa. Firaun telah memberi hadiah berupa barang-barang kemas dan perhiasan yang mahal kepada isteri Bal’am sebagai umpan supaya Bal’am mendoakan akan Nabi Musa as.

Pada mulanya Bal’am masih tidak mahu mendoakan. Akan tetapi setelah isterinya tidak bercakap, melayannya dan menyediakan makanan seperti biasa dibuat. Lama kelamaan Bal’am pun bertanya kepada isterinya mengapa isteri beliau mogok dan beliau tidak dilayan seperti biasa dilakukan. Isteri Bal’am berkata “berdoalah bukan susah seperti yang dipinta oleh Raja”.

Bal’am dengan kekuatan ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi Musa a.s. doa Bal’am itu termakbul, menyebabkan Nabi Musa tersesat di satu tempat yang bernama Tih (sekarang : semenanjung Sinai) selama 40 tahun.

Kesesatan yang maha dahsyat itu, menyebabkan Nabi Musa bertanya Allah SWT, “Wahai Tuhan, apakah dosa yang kami lakukan sehingga kami tersesat di Tih ini?”

Jawab Allah SWT, “berpunca dari doa Bal’am”

Nabi Musa berkata lagi kepada Allah, “wahai Allah, sepertimana kamu mendengar doa Bal’am terhadapku, maka tolong makbulkan doaku terhadap Bal’am”

Lalu, Nabi Musa mendoakan agar Bal’am dicabut keimanan dari dirinya. Doa Nabi Musa dimakbulkan oleh Allah, menyebabkan Bal’am mati dalam keadaan kufur dan lidahnya terjelir sepertimana anjing.

“minta berlindung kita dengan Allah daripada menjadi seperti Bal’am bin Ba’ura’”

KISAH ASHAB AL-UKHDOOD


DIPERINCIKAN OLEH HADITH

Biar pun kisah Ashaab al-Ukhdood ini disentuh secara langsung oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam al-Quran iaitu di dalam Surah al-Burooj, namun kisah Ashaab al-Ukhdood ini adalah contoh kepada sebuah kisah yang perinciannya kedapatan di dalam Hadith Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Hadith yang dipetik bernombor 3005 di dalam Sahih Muslim sebagai asas perbincangan.

Biar pun terdapat riwayat lain, sebagaimana riwayat oleh al-Imam Ibnu Ishaq di dalam Sirah beliau, namun riwayat itu hanya terhenti kepada sumber ambilan iaitu seorang Tabi’in bernama Muhammad ibn Ka’ab al-Qurazi. Justeru riwayat di dalam Sahih Muslim daripada Suhaib al-Rumi radhiyalaahu ‘anhu lebih wajar diutamakan, kerana ia adalah riwayat yang bakal mensyarahkan ayat-ayat Allah di dalam Surah al-Burooj.

AL-UKHDOOD BUKAN SATU

Di samping itu, para Ulama’ juga memperincikan maklumat, bahawa kisah Ashaab al-Ukhdood hakikatnya bukanlah kisah tunggal di daerah Najran, malah kejadian yang hampir sama telah berlaku beberapa kali pada masa dan lokasi yang berbeza.

Misalnya Jabir ibn Nufair radhiyallaahu ‘anhu, berkata, “mereka yang menyalakan api al-Ukhdood itu ada tiga. Al-Ukhdood di Yaman di era Tubba’, al-Ukhdood di Constantinople zaman Constantine dan ibunya Helena ketika mereka menyeru masuk ke agama Nasraniyah. Semasa itu Constantine yang Nasrani itu telah menyimpang daripada agama al-Masih dan Tauhid dan beliau berkata bahawa Isa adalah anak Allah. Lalu dinyalakan api al-Ukhdood dan dicampakkan ke dalam api tersebut sekalian kaum Nasrani yang bertahan dengan Tauhid.

Ukhdood yang seterusnya pula adalah Ukhdood yang berlaku di Babylon di Iraq zaman Buchadnezzar, tatkala dibina sebuah patung berhala lalu dipaksa orang ramai sujud kepadanya. Ia ditentang oleh Daniel dan dua sahabatnya, lalu dinyalakan api di dalam al-Ukhdood dan kesemua mereka yang menentang itu dicampak ke dalam api yang marak tersebut, namun dijadikan oleh Allah api itu dingin dan selamat untuk mereka”.

Selain daripada itu, terdapat juga riwayat lain yang dipetik daripada kitab al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Katheer, jilid 2, muka surat 131-132, daripada al-Suddi beliau berkata, “al-Ukhdood itu adalah tiga. Satu di Syam, satu lagi di Iraq dan satu lagi di Yaman”.

Muqatil juga meriwayatkan, “al-Ukhdood itu ada tiga: Satunya ialah di Najran di negeri Yaman. Satu lagi adalah di negeri Syam. Manakala satu lagi pula adalah di Parsi. Mereka semuanya dibakar dengan api. Al-Ukhdood di Syam adalah didalangi oleh Anthonios al-Rumi, di Parsi pula ialah Buchadnezzar dan yang di negeri Arab (Yaman) pula oleh Yusuf Dzu Nuwas. Apa yang berlaku di Parsi dan Syam tidak diturunkan ayat al-Quran mengenainya, sebaliknya diturunkan al-Quran bersempena dengan apa yang berlaku di Najran itu” [ Ar-Raudh al-'Unf jilid 1 ms 217, Hasyiah al-Wakil]

Sheikh Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi berpendirian untuk tidak mengulas riwayat-riwayat di atas sebagaimana yang diterangkannya di dalam buku beliau yang menjadi rujukan utama saya di dalam siri kuliah ini, Ma’a Qasas al-Saabiqeen fee al-Quraan (3).

RUJUKAN TAMBAHAN

Kisah Ashaab al-Ukhdood ini juga boleh dibaca syarahannya dengan panjang lebar di dalam sebuah buku yang dicadangkan oleh Sheikh Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi iaitu buku bertajuk Ashaab al-Ukhdood tulisan Sheikh Rifa’ie Surur yang telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia dan diterbitkan oleh Jahabersa di bawah tajuk Kisah Ashabul Ukhdud (Tragedi Parit Api) – Pedoman Di Jalan Dakwah.

TEKS HADITH SAHIH MUSLIM

Di bawah ini saya sertakan salinan kepada teks hadith daripada Sahih Muslim yang dijadikan sebagai rujukan kuliah. Sila klik imej berkenaan untuk membesarkannya.

ashabulukhdud-1

Bahagian 1

ashabulukhdud-2

Bahagian 2

desert-02

HURAIAN

ukhdud1

“Pada suatu ketika, terdapatnya seorang raja di era sebelum kamu…”

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengekalkan mubhamat (kekaburan fakta) pada identiti raja, atau bila dan di mana ia berlaku, bersesuaian dengan pendekatan al-Quran sendiri dalam mengkesampingkan fakta-fakta seperti itu. Tujuannya, adalah seperti yang kita maklum, agar suasana di sekitar kisah itu kekal umum tanpa terikat kepada zaman, kaum dan identiti domestik yang menyelubunginya. Ini akan memudahkan proses mengaitkan cerita itu dengan kaum mukmin sepanjang zaman. Cerita itu cerita kita!

“Era sebelum kamu”

Hikmah menyebut “era sebelum kamu” juga adalah untuk mengikat para sahabat dan kita semua dengan kisah ini, bahawa ia berkait dengan diri kita untuk diteladani.

“Raja”

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam memperkenalkan watak utama di dalam kisah Ashab al-Ukhdood ini iaitu Raja yang memerintah ketika itu. Raja ini adalah sebahagian daripada kelompok al-Mala’ iaitu golongan berpengaruh di dalam masyarakat yang sering menjadi pencabar kepada seruan Tauhid. Pertembungan di antara dakwah dengan pemerintah seperti ini berlaku di sepanjang zaman.

ukhdud2“Raja itu memilik seorang Ahli Sihir”

Peningkatan unsur khurafat dan sihir akan berlaku seiringan dengan kemerosotan Tauhid. Tidak menghairankan bagi pemerintah yang membelakangkan Tauhid, akan menggunakan khidmat sihir dan Ahli Sihir untuk mengukuhkan kuasa dan pengaruhnya. Di dalam bahasa kita, bomoh dan khidmat bomoh mungkin lebih dekat dengan kita pada memahami maksud ayat ini.

ukhdud3

“Apabila ahli sihir itu sudah beransur tua, dia berkata kepada raja: sesungguhnya aku sudah tua, hantarkan kepada aku seorang anak muda untuk kuajarkan dia ilmu sihir ini”

Tindakan ahli sihir itu meminta raja menyediakan seorang anak muda sebagai pelapis, menunjukkan kepada kaderisasi yang diberikan perhatian oleh kuasa jahiliyyah. Mereka mahu penguasaan itu berterusan dengan memastikan kesinambungannya tidak terjejas.

Kaderisasi adalah simbol kejayaan kuasa.

Seorang pemimpin atau sesiapa sahaja yang berpengaruh, tidak dianggap berjaya sehinggalah berjaya memastikan kejayaannya dikongsi dan berpindah kepada kumpulan pelapis. Di sinilah letaknya ‘harga’ Alul Bayt dan sekalian Sahabat Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam kerana mereka adalah simbol kepada kejayaan kepimpinan Baginda.

Ahli sihir itu meminta agar dihantarkan kepadanya seorang anak muda (ghulam).

Memilih anak muda sebagai calon pelapis adalah kerana potensi yang ada pada mereka. Bersemangat, keghairahan yang tinggi (curiosity), tubuh badan yang kuat, kesemuanya ini menjadi faktor mengapa tenaga muda penting untuk dimanfaatkan bagi mencipta masa depan yang dikehendaki. Segala elemen ini akan kelihatan melalui tingkah laku ghulam di dalam kisah ini.

Apa sahaja teori perubahan yang anda anda, anak muda adalah tapak semaiannya yang paling subur.

ukhdud4

“(Selepas memulakan pengajian) tatkala ghulam itu berada di dalam perjalanannya menuju ke kelas sihir, beliau bertemu dengan seorang rahib”

Demikianlah perancangan Allah.

Anak muda itu terpilih untuk disokong oleh raja menjadi pelajar harapan, belajar tentang sihir daripada Ahli Sihir Diraja. Misinya adalah untuk menjadi Ahli Sihir Diraja yang baru menggantikan Ahli Sihir sedia ada yang sudah tua. Namun seperti yang diungkapkan oleh Allah SWT di dalam surah Aal ‘Imraan ayat 54:

“Mereka merancang konspirasi dan Allah juga merancang. Dan Allah jualah sebaik-baik Perancang”

Sistem sudah berjalan untuk kesinambungan penguasaan Jahiliah. Namun di dalam sistem itu jualah terbitnya sesuatu yang hebat, datang dari perancangan Allah. Seperti Musa ‘alayhi al-Salaam yang membesar di dalam istana Firaun sendiri, demikianlah ghulam ini bertemu dengan rahib yang merupakan ahli Tauhid, mengajar manusia agama Allah, sesuatu yang bertentangan dengan apa yang dipelajari oleh ghulam itu di fakulti sihirnya.

Seperti Sayyid Qutb yang mendapat sentuhan hidayah tentang perjuangan Ikhwan al-Muslimin di Mesir tatkala beliau bermusafir ke Amerika Syarikat. Seperti anak-anak muda yang berkelana ke bumi asing di negara Barat, dari situlah lahirnya ramai pendukung perjuangan membantu agama Allah.

Lemahnya konspirasi manusia di hadapan perancangan Allah.

ukhdud5

“Anak muda itu duduk bertandang menghadiri majlis si Rahib, mendengar butir-butir katanya lantas ia menimbulkan rasa takjub pada diri anak muda itu dengan ajaran-ajaran si Rahib”

Ghulam ini seperti anak-anak muda seusianya, sangat ghairah dan berkeinginan tinggi untuk TAHU. Itulah keistimewaan anak muda. Keinginannya mendorong beliau untuk menghadirkan diri ke majlis si Rahib bagi mendengar ajaran-ajaran yang disampaikannya berkenaan dengan agama yang mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta’aala. Pengajaran dan uslub (pendekatan) yang digunakan oleh si Rahib menimbulkan rasa takjub dan jatuh hati pada diri ghulam untuk terus melazimi majlis tersebut.

Sifat ini adalah kekuatan bagi golongan muda.

Kesediaannya untuk mendengar, mengkaji dan membuat pertimbangan dalam mencari kebenaran dan kebaikan dalam hidup ini, adalah harga bagi diri seorang anak muda. Ketiadaan sifat ini adalah suatu kecacatan yang mensesiakan potensi yang ada pada kelompok terpilih ini.

Anak muda harus mencari dan mengkaji.

Ia alat untuk mencari hikmah, kebenaran dan makna bagi sebuah kehidupan.

ukhdud6

“Setiap kali beliau dalam perjalanan untuk menghadiri kelasnya bersama Ahli Sihir, ghulam berkenaan akan melalui lokasi si Rahib lalu duduk mendengar ajaran-ajarannya. Disebabkan oleh aktivitinya itu, ghulam itu selalu terlewat tiba ke kelas Ahli Sihir lalu beliau memukulnya”

Kehadiran anak muda itu ke kuliah Rahib, masih berlangsung secara tidak formal. Namun ghulam semakin komited menghadiri kuliah tersebut dan ini telah menimbulkan masalah yang lain kepadanya.

Ghulam tiba lewat ke kelas rasminya bersama Ahli Sihir.

Mungkin di sinilah kelemahan ghulam. Dalam keghairahannya mempelajari ilmu baru tentang agama Tauhid, beliau terlupa kepada komitmennya bersama Ahli Sihir. Beliau telah melengahkan kehadirannya ke kelas tersebut dan ini mula mencetuskan masalah buatnya.

Ahli Sihir, sebagai pemuka Jahiliyyah konsisten dengan sikap ego dan kasarnya. Tanpa soal selidik, beliau mengambil tindakan memukul anak muda itu tadi. Beliau menyangka tindakannya memukul itu boleh memadamkan keinginan dan komitmen ghulam kepada mendalami ilmu barunya. Beliau tidak sedar bahawa kekerasannya hanya menambahkan lagi tekad anak muda itu memilih satu antara dua.

Beliau memilih Rahib dan ajaran agama Tauhidnya.

ukhdud7

“Lalu ghulam itu mengadu kepada si Rahib”

Tekanan yang dikenakan oleh Ahli Sihir ke atas ghulam, hakikatnya meningkatkan lagi hubungan di antara ghulam itu dengan si Rahib. Tekanan itu menambahkan keakraban di antara mereka berdua dan inilah yang sering gagal difahami oleh pendukung Jahiliyyah. Mereka sentiasa percaya bahawa tekanan akan mengubah manusia kepada kehendak mereka, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Aduan ghulam kepada Rahib bukanlah aduan penyesalan. Sebaliknya aduan yang meminta nasihat tentang langkah yang sepatutnya diambil untuk mendepani tekanan yang sedang membelenggu si ghulam.

ukhdud8

“Seandainya kamu takut kepada Ahli Sihir, maka beritahulah dia: aku dikurung oleh keluargaku. Dan seandainya engkau takut kepada keluargamu, maka katakanlah: aku dikurung oleh si Ahli Sihir”

Sikap keras Ahli Sihir memukul ghulam, dan tindakan keluarganya yang mengurung si ghulam, memperlihatkan pendekatan kedua belah pihak itu yang tidak membuka ruang toleransi dan diskusi di antara mereka dengan si ghulam. Tindakan itu bukanlah sesuatu yang baik kerana ia meletakkan ghulam yang masih bertatih dalam pencariannya itu tersepit di antara dua keadaan.

Namun disebabkan oleh nilai yang ada pada agama Tauhid, dan tindakan kedua belah pihak yang bakal menghalang si ghulam daripada mendapat serta melaksanakan sesuatu yang ‘wajib’ ke atas dirinya, maka  dia terpaksa membuat pilihan.

Mengetahui akan perihal anak murid yang lemah, si Rahib memberikan penyelesaian berupa helah pembohongan. Si ghulam menipu keluarganya ketika pulang dari kelas dan si ghulam menipu gurunya si Ahli Sihir ketika datang ke kelas. Tetapi pembohongan itu amat terhad dan harus hanya kerana dharurat. Sebab itulah si Rahib memberikan kaedah berbohong itu dengan menyebut ayat dialog secara verbatim dan bukannya menyerahkan kepada ‘kebijaksanaan’ si ghulam untuk mereka-reka pembohongan.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, hanya ada tiga situasi yang mengharuskan seseorang untuk berbohong.

Di dalam Sahih Muslim, hadith bernombor 2605 dikeluarkan dari Ummu Kalsum binti ‘Uqbah bin Abi Mu’ith, beliau menceritakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “bukanlah pendusta orang yangmendamaikan hubungan antara manusia, berbicara baik dan menyampaikan kebaikan”.

Daripada beberapa buah riwayat yang datang dengan makna yang hampir sama, kesimpulan kepada keharusan berbohong ini ialah pada tiga situasi:

  1. Mendamaikan di antara dua orang yang bermusuhan.
  2. Pujian suami kepada kecantikan atau keelokan isteri untuk menjaga kerukunan rumahtangga.
  3. Ancaman yang dihadapi oleh seseorang terhadap musuh untuk menjaga rahsia kaum Muslimin.

Ini merupakan situasi yang sering dihadapi oleh anak muda tatkala pembabitan mereka di dalam dakwah ditentang oleh ibu bapa. Bagi anak-anak muda yang faham tentang kedudukan dakwah di dalam agama ini, maka menjaga kepentingan dakwah itu mesti diurus dengan baik.

Namun berbohong kepada ibu bapa atau sesiapa akibat tindakan-tindakan keras mereka, mungkin bukan kaedah yang mampu digunakan untuk satu jangka masa yang panjang.

Seperti juga dengan nasib si ghulam ini…

BERSAMBUNG

SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)


Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang dilihat oleh rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara. Semenjak 1990, PAS telah melangkah maju daripada sebuah parti pembangkang yang dianggap ‘ekstrem’ menjadi sebuah parti pemerintah yang moderat dalam melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan semenjak 1990, kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini PAS mendapat kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor. Di Parlimen juga, PAS telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada kerusi Parlimen atau 25 peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang. Perkembangan ini meletakkan PAS dalam perhatian peminat politik, pengkaji dan juga penyelidik.

Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.

Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Ksedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.

Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno.

Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.

Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’ dari matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,

”Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci”2.

Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini.

Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.

PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.

Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.

Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-Umno pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, Umno pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasana.

Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu Islam.

Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang). Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995)5.

1 Burhanuddin al-Helmy (1957), Panduan Jiwa Pergerakan, dlm. Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1, Disember.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.