Masjid Kampung Pasir Minal, Kemaman bermula dengan sebuah masjid kayu. Ia agak sederhana. Selepas masa berlalu, masjid baru dengan binaan yang kukuh sudah terbina. Mungkin sudah lebih RM1 juta dilaburkan untuk membinanya, hasil kesungguhan semua pihak yang bukan sahaja mahu melihat Islam berada di menara masjid tetapi Islam berada di kemuncak kuasa. Tiba-tiba ura-ura bahawa UMNO/BN Terengganu mahu menawarkan masjid itu diroboh dan dibangunkan yang lain dengan tawaran RM1.35 juta (?).

khutbah Jumaat berkaitan: Jangan ganggu masjid ini

Kenapa sekarang baru bersungguh? Kenapa mahu dirobohkan masjid yang sedang dimakmurkan? Kalau masjid itu uzur, tiada jemaah dan tidak dimakmurkan lalu atas dasar taqwa mahu membangunkannya nampak logik. Tetapi apabila masjid yang menjadi tumpuan ramai termasuk khatib tamu yang datang silih berganti termasuk kepimpinan tertinggi PAS begitu makmur, lalu UMNO/BN Terengganu terliur dengan masjid itu?

Saya ingin mengingatkan mereka ini dengan ucapan Imam Malik bin Anas apabila Khalifah Harun ar-Rashid mahu merobohkan Kaabah yang dibina oleh mereka yang sebelumnya dan mengembalikan balik kepada binaan sebelum itu: ‘Saya menasihatkan anda wahai Amir al-Mukminin! Adakah anda jadikan Kaabah itu permainan bagi penguasa-penguasa? Tidak ada seorang yang menjadi pemimpin melainkan ia meruntuhkannya, kemudian mendirikannya balik. Lalu akan hilanglah kehebatan rumah Allah itu.’

Saya yakin apa yang mahu dibuat oleh Khalifah Harun ar-Rashid berdasarkan iman, taqwa dan niat yang betul, tetapi saya sangat sangsi dengan maksud dan tujuan Masjid Kampung Pasir Minal yang mahu diroboh dan dibangunkan yang lain oleh UMNO/BN melainkan ia mempunyai unsur-unsur politik yang amat ketara. Demikian juga PUTIB dan Pondok Mustaqim. Gunakan kuasa itu untuk membantu, bukan meroboh.

Justru, sekali lagi diingatkan mereka yang berniat jahat terhadap rumah Allah ini dengan doa orang yang dizalimi dan balasan Allah terhadap tentera bergajah Abrahah yang mahu meruntuhkan rumah Allah. Batalkan sahaja niat jahat anda itu dan gunakan wang rakyat RM1.35 juta itu untuk pembangunan yang benar-benar bermanfaat untuk rakyat.