DIPERINCIKAN OLEH HADITH

Biar pun kisah Ashaab al-Ukhdood ini disentuh secara langsung oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam al-Quran iaitu di dalam Surah al-Burooj, namun kisah Ashaab al-Ukhdood ini adalah contoh kepada sebuah kisah yang perinciannya kedapatan di dalam Hadith Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Hadith yang dipetik bernombor 3005 di dalam Sahih Muslim sebagai asas perbincangan.

Biar pun terdapat riwayat lain, sebagaimana riwayat oleh al-Imam Ibnu Ishaq di dalam Sirah beliau, namun riwayat itu hanya terhenti kepada sumber ambilan iaitu seorang Tabi’in bernama Muhammad ibn Ka’ab al-Qurazi. Justeru riwayat di dalam Sahih Muslim daripada Suhaib al-Rumi radhiyalaahu ‘anhu lebih wajar diutamakan, kerana ia adalah riwayat yang bakal mensyarahkan ayat-ayat Allah di dalam Surah al-Burooj.

AL-UKHDOOD BUKAN SATU

Di samping itu, para Ulama’ juga memperincikan maklumat, bahawa kisah Ashaab al-Ukhdood hakikatnya bukanlah kisah tunggal di daerah Najran, malah kejadian yang hampir sama telah berlaku beberapa kali pada masa dan lokasi yang berbeza.

Misalnya Jabir ibn Nufair radhiyallaahu ‘anhu, berkata, “mereka yang menyalakan api al-Ukhdood itu ada tiga. Al-Ukhdood di Yaman di era Tubba’, al-Ukhdood di Constantinople zaman Constantine dan ibunya Helena ketika mereka menyeru masuk ke agama Nasraniyah. Semasa itu Constantine yang Nasrani itu telah menyimpang daripada agama al-Masih dan Tauhid dan beliau berkata bahawa Isa adalah anak Allah. Lalu dinyalakan api al-Ukhdood dan dicampakkan ke dalam api tersebut sekalian kaum Nasrani yang bertahan dengan Tauhid.

Ukhdood yang seterusnya pula adalah Ukhdood yang berlaku di Babylon di Iraq zaman Buchadnezzar, tatkala dibina sebuah patung berhala lalu dipaksa orang ramai sujud kepadanya. Ia ditentang oleh Daniel dan dua sahabatnya, lalu dinyalakan api di dalam al-Ukhdood dan kesemua mereka yang menentang itu dicampak ke dalam api yang marak tersebut, namun dijadikan oleh Allah api itu dingin dan selamat untuk mereka”.

Selain daripada itu, terdapat juga riwayat lain yang dipetik daripada kitab al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Katheer, jilid 2, muka surat 131-132, daripada al-Suddi beliau berkata, “al-Ukhdood itu adalah tiga. Satu di Syam, satu lagi di Iraq dan satu lagi di Yaman”.

Muqatil juga meriwayatkan, “al-Ukhdood itu ada tiga: Satunya ialah di Najran di negeri Yaman. Satu lagi adalah di negeri Syam. Manakala satu lagi pula adalah di Parsi. Mereka semuanya dibakar dengan api. Al-Ukhdood di Syam adalah didalangi oleh Anthonios al-Rumi, di Parsi pula ialah Buchadnezzar dan yang di negeri Arab (Yaman) pula oleh Yusuf Dzu Nuwas. Apa yang berlaku di Parsi dan Syam tidak diturunkan ayat al-Quran mengenainya, sebaliknya diturunkan al-Quran bersempena dengan apa yang berlaku di Najran itu” [ Ar-Raudh al-‘Unf jilid 1 ms 217, Hasyiah al-Wakil]

Sheikh Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi berpendirian untuk tidak mengulas riwayat-riwayat di atas sebagaimana yang diterangkannya di dalam buku beliau yang menjadi rujukan utama saya di dalam siri kuliah ini, Ma’a Qasas al-Saabiqeen fee al-Quraan (3).

RUJUKAN TAMBAHAN

Kisah Ashaab al-Ukhdood ini juga boleh dibaca syarahannya dengan panjang lebar di dalam sebuah buku yang dicadangkan oleh Sheikh Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi iaitu buku bertajuk Ashaab al-Ukhdood tulisan Sheikh Rifa’ie Surur yang telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia dan diterbitkan oleh Jahabersa di bawah tajuk Kisah Ashabul Ukhdud (Tragedi Parit Api) – Pedoman Di Jalan Dakwah.

TEKS HADITH SAHIH MUSLIM

Di bawah ini saya sertakan salinan kepada teks hadith daripada Sahih Muslim yang dijadikan sebagai rujukan kuliah. Sila klik imej berkenaan untuk membesarkannya.

ashabulukhdud-1

Bahagian 1

ashabulukhdud-2

Bahagian 2

desert-02

HURAIAN

ukhdud1

“Pada suatu ketika, terdapatnya seorang raja di era sebelum kamu…”

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengekalkan mubhamat (kekaburan fakta) pada identiti raja, atau bila dan di mana ia berlaku, bersesuaian dengan pendekatan al-Quran sendiri dalam mengkesampingkan fakta-fakta seperti itu. Tujuannya, adalah seperti yang kita maklum, agar suasana di sekitar kisah itu kekal umum tanpa terikat kepada zaman, kaum dan identiti domestik yang menyelubunginya. Ini akan memudahkan proses mengaitkan cerita itu dengan kaum mukmin sepanjang zaman. Cerita itu cerita kita!

“Era sebelum kamu”

Hikmah menyebut “era sebelum kamu” juga adalah untuk mengikat para sahabat dan kita semua dengan kisah ini, bahawa ia berkait dengan diri kita untuk diteladani.

“Raja”

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam memperkenalkan watak utama di dalam kisah Ashab al-Ukhdood ini iaitu Raja yang memerintah ketika itu. Raja ini adalah sebahagian daripada kelompok al-Mala’ iaitu golongan berpengaruh di dalam masyarakat yang sering menjadi pencabar kepada seruan Tauhid. Pertembungan di antara dakwah dengan pemerintah seperti ini berlaku di sepanjang zaman.

ukhdud2“Raja itu memilik seorang Ahli Sihir”

Peningkatan unsur khurafat dan sihir akan berlaku seiringan dengan kemerosotan Tauhid. Tidak menghairankan bagi pemerintah yang membelakangkan Tauhid, akan menggunakan khidmat sihir dan Ahli Sihir untuk mengukuhkan kuasa dan pengaruhnya. Di dalam bahasa kita, bomoh dan khidmat bomoh mungkin lebih dekat dengan kita pada memahami maksud ayat ini.

ukhdud3

“Apabila ahli sihir itu sudah beransur tua, dia berkata kepada raja: sesungguhnya aku sudah tua, hantarkan kepada aku seorang anak muda untuk kuajarkan dia ilmu sihir ini”

Tindakan ahli sihir itu meminta raja menyediakan seorang anak muda sebagai pelapis, menunjukkan kepada kaderisasi yang diberikan perhatian oleh kuasa jahiliyyah. Mereka mahu penguasaan itu berterusan dengan memastikan kesinambungannya tidak terjejas.

Kaderisasi adalah simbol kejayaan kuasa.

Seorang pemimpin atau sesiapa sahaja yang berpengaruh, tidak dianggap berjaya sehinggalah berjaya memastikan kejayaannya dikongsi dan berpindah kepada kumpulan pelapis. Di sinilah letaknya ‘harga’ Alul Bayt dan sekalian Sahabat Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam kerana mereka adalah simbol kepada kejayaan kepimpinan Baginda.

Ahli sihir itu meminta agar dihantarkan kepadanya seorang anak muda (ghulam).

Memilih anak muda sebagai calon pelapis adalah kerana potensi yang ada pada mereka. Bersemangat, keghairahan yang tinggi (curiosity), tubuh badan yang kuat, kesemuanya ini menjadi faktor mengapa tenaga muda penting untuk dimanfaatkan bagi mencipta masa depan yang dikehendaki. Segala elemen ini akan kelihatan melalui tingkah laku ghulam di dalam kisah ini.

Apa sahaja teori perubahan yang anda anda, anak muda adalah tapak semaiannya yang paling subur.

ukhdud4

“(Selepas memulakan pengajian) tatkala ghulam itu berada di dalam perjalanannya menuju ke kelas sihir, beliau bertemu dengan seorang rahib”

Demikianlah perancangan Allah.

Anak muda itu terpilih untuk disokong oleh raja menjadi pelajar harapan, belajar tentang sihir daripada Ahli Sihir Diraja. Misinya adalah untuk menjadi Ahli Sihir Diraja yang baru menggantikan Ahli Sihir sedia ada yang sudah tua. Namun seperti yang diungkapkan oleh Allah SWT di dalam surah Aal ‘Imraan ayat 54:

“Mereka merancang konspirasi dan Allah juga merancang. Dan Allah jualah sebaik-baik Perancang”

Sistem sudah berjalan untuk kesinambungan penguasaan Jahiliah. Namun di dalam sistem itu jualah terbitnya sesuatu yang hebat, datang dari perancangan Allah. Seperti Musa ‘alayhi al-Salaam yang membesar di dalam istana Firaun sendiri, demikianlah ghulam ini bertemu dengan rahib yang merupakan ahli Tauhid, mengajar manusia agama Allah, sesuatu yang bertentangan dengan apa yang dipelajari oleh ghulam itu di fakulti sihirnya.

Seperti Sayyid Qutb yang mendapat sentuhan hidayah tentang perjuangan Ikhwan al-Muslimin di Mesir tatkala beliau bermusafir ke Amerika Syarikat. Seperti anak-anak muda yang berkelana ke bumi asing di negara Barat, dari situlah lahirnya ramai pendukung perjuangan membantu agama Allah.

Lemahnya konspirasi manusia di hadapan perancangan Allah.

ukhdud5

“Anak muda itu duduk bertandang menghadiri majlis si Rahib, mendengar butir-butir katanya lantas ia menimbulkan rasa takjub pada diri anak muda itu dengan ajaran-ajaran si Rahib”

Ghulam ini seperti anak-anak muda seusianya, sangat ghairah dan berkeinginan tinggi untuk TAHU. Itulah keistimewaan anak muda. Keinginannya mendorong beliau untuk menghadirkan diri ke majlis si Rahib bagi mendengar ajaran-ajaran yang disampaikannya berkenaan dengan agama yang mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta’aala. Pengajaran dan uslub (pendekatan) yang digunakan oleh si Rahib menimbulkan rasa takjub dan jatuh hati pada diri ghulam untuk terus melazimi majlis tersebut.

Sifat ini adalah kekuatan bagi golongan muda.

Kesediaannya untuk mendengar, mengkaji dan membuat pertimbangan dalam mencari kebenaran dan kebaikan dalam hidup ini, adalah harga bagi diri seorang anak muda. Ketiadaan sifat ini adalah suatu kecacatan yang mensesiakan potensi yang ada pada kelompok terpilih ini.

Anak muda harus mencari dan mengkaji.

Ia alat untuk mencari hikmah, kebenaran dan makna bagi sebuah kehidupan.

ukhdud6

“Setiap kali beliau dalam perjalanan untuk menghadiri kelasnya bersama Ahli Sihir, ghulam berkenaan akan melalui lokasi si Rahib lalu duduk mendengar ajaran-ajarannya. Disebabkan oleh aktivitinya itu, ghulam itu selalu terlewat tiba ke kelas Ahli Sihir lalu beliau memukulnya”

Kehadiran anak muda itu ke kuliah Rahib, masih berlangsung secara tidak formal. Namun ghulam semakin komited menghadiri kuliah tersebut dan ini telah menimbulkan masalah yang lain kepadanya.

Ghulam tiba lewat ke kelas rasminya bersama Ahli Sihir.

Mungkin di sinilah kelemahan ghulam. Dalam keghairahannya mempelajari ilmu baru tentang agama Tauhid, beliau terlupa kepada komitmennya bersama Ahli Sihir. Beliau telah melengahkan kehadirannya ke kelas tersebut dan ini mula mencetuskan masalah buatnya.

Ahli Sihir, sebagai pemuka Jahiliyyah konsisten dengan sikap ego dan kasarnya. Tanpa soal selidik, beliau mengambil tindakan memukul anak muda itu tadi. Beliau menyangka tindakannya memukul itu boleh memadamkan keinginan dan komitmen ghulam kepada mendalami ilmu barunya. Beliau tidak sedar bahawa kekerasannya hanya menambahkan lagi tekad anak muda itu memilih satu antara dua.

Beliau memilih Rahib dan ajaran agama Tauhidnya.

ukhdud7

“Lalu ghulam itu mengadu kepada si Rahib”

Tekanan yang dikenakan oleh Ahli Sihir ke atas ghulam, hakikatnya meningkatkan lagi hubungan di antara ghulam itu dengan si Rahib. Tekanan itu menambahkan keakraban di antara mereka berdua dan inilah yang sering gagal difahami oleh pendukung Jahiliyyah. Mereka sentiasa percaya bahawa tekanan akan mengubah manusia kepada kehendak mereka, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Aduan ghulam kepada Rahib bukanlah aduan penyesalan. Sebaliknya aduan yang meminta nasihat tentang langkah yang sepatutnya diambil untuk mendepani tekanan yang sedang membelenggu si ghulam.

ukhdud8

“Seandainya kamu takut kepada Ahli Sihir, maka beritahulah dia: aku dikurung oleh keluargaku. Dan seandainya engkau takut kepada keluargamu, maka katakanlah: aku dikurung oleh si Ahli Sihir”

Sikap keras Ahli Sihir memukul ghulam, dan tindakan keluarganya yang mengurung si ghulam, memperlihatkan pendekatan kedua belah pihak itu yang tidak membuka ruang toleransi dan diskusi di antara mereka dengan si ghulam. Tindakan itu bukanlah sesuatu yang baik kerana ia meletakkan ghulam yang masih bertatih dalam pencariannya itu tersepit di antara dua keadaan.

Namun disebabkan oleh nilai yang ada pada agama Tauhid, dan tindakan kedua belah pihak yang bakal menghalang si ghulam daripada mendapat serta melaksanakan sesuatu yang ‘wajib’ ke atas dirinya, maka  dia terpaksa membuat pilihan.

Mengetahui akan perihal anak murid yang lemah, si Rahib memberikan penyelesaian berupa helah pembohongan. Si ghulam menipu keluarganya ketika pulang dari kelas dan si ghulam menipu gurunya si Ahli Sihir ketika datang ke kelas. Tetapi pembohongan itu amat terhad dan harus hanya kerana dharurat. Sebab itulah si Rahib memberikan kaedah berbohong itu dengan menyebut ayat dialog secara verbatim dan bukannya menyerahkan kepada ‘kebijaksanaan’ si ghulam untuk mereka-reka pembohongan.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, hanya ada tiga situasi yang mengharuskan seseorang untuk berbohong.

Di dalam Sahih Muslim, hadith bernombor 2605 dikeluarkan dari Ummu Kalsum binti ‘Uqbah bin Abi Mu’ith, beliau menceritakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “bukanlah pendusta orang yangmendamaikan hubungan antara manusia, berbicara baik dan menyampaikan kebaikan”.

Daripada beberapa buah riwayat yang datang dengan makna yang hampir sama, kesimpulan kepada keharusan berbohong ini ialah pada tiga situasi:

  1. Mendamaikan di antara dua orang yang bermusuhan.
  2. Pujian suami kepada kecantikan atau keelokan isteri untuk menjaga kerukunan rumahtangga.
  3. Ancaman yang dihadapi oleh seseorang terhadap musuh untuk menjaga rahsia kaum Muslimin.

Ini merupakan situasi yang sering dihadapi oleh anak muda tatkala pembabitan mereka di dalam dakwah ditentang oleh ibu bapa. Bagi anak-anak muda yang faham tentang kedudukan dakwah di dalam agama ini, maka menjaga kepentingan dakwah itu mesti diurus dengan baik.

Namun berbohong kepada ibu bapa atau sesiapa akibat tindakan-tindakan keras mereka, mungkin bukan kaedah yang mampu digunakan untuk satu jangka masa yang panjang.

Seperti juga dengan nasib si ghulam ini…

BERSAMBUNG