Pada 14hb Jun 2010 (Isnin) bersamaan dengan 1 Rejab 1431H yang lalu PAS telah kehilangan sebutir permata yang boleh dianggap sebagai kamus bergerak  PAS iaitu, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri, 71. Allahyarham meninggal dunia dan menemui penciptanya ketika PAS berada di puncak kejayaan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat (PR). Allahyarham telah menghabiskan seluruh usianya dengan perjuangan semenjak diusia belasan tahun.


Latarbelakang

Ustaz Haji Hassan Shukri dilahirkan pada, 11hb Oktober 1938 di Kampong Sepintas Sabak Bernam, Selangor.

Allahyarham  mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sabak Bernam sehingga tamat darjah enam. Kemudian allahyarham telah melanjutkan pelajaran ke Maahad Yahyawiyah, Padang Renggas, Perak pada tahun 1956 sehingga tahun 1960 dan telah memperolehi Rabi’ Thanawi.

Manakala pada tahun 1968, beliau telah mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Baghdad, Iraq dalam bidang Perundangan Islam dan Kesusasteraan Arab, bersama-sama 10 orang rakannya antaranya ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Ustaz Hashim Jasin, Bekas Mufti Pulau Pinang, Dato’ Sheikh Azmi Ahmad dan Ustaz Jaliluddin Abd Wahid. Setelah bertungkus lumus selama empat tahun Allahyarham berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalan bidang berkenaan dan kembali ke Tanah Air.

Rumahtangga

Ustaz Hassan Shukri, telah mendirikan rumahtangga dengan seorang guru, Ustazah Hamidah Talib dan telah dikurniakan seramai 6 orang cahaya mata. Lima perempuan dan seorang lelaki.


Mula menyertai PAS

Ustaz Hassan mula menyertaannya PAS secara tidak rasmi sewaktu berusia 14 tahun pada 1951 dan pernah dilantik memegang jawatan sebagai Setiausaha Ranting PAS Padang Renggas Perak.

Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Perak pada tahun 1962 sehingga tahun 1964. Manakala pada tahun 1968-1970 diamanahkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) DPP Pusat sebelum dipilih sebagai Naib Ketua DPP Pusat pada tahun 1970-1971.

Kemudian Allahyarham telah dilantik sebagai Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) pada tahun 1970-1971 apabila ketua Ustaz Jaiz Anwar (Allahyarham) meletak jawatan kerana melanjutkan pelajaran ke luar Negara. Manakala pada tahun 1971 – 1973 beliau telah diamanahkan sebagai Ketua DPP Pusat.

Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS dan telah berkhidmat kepada tiga orang Presiden PAS iaitu Dato’ Mohd Asri Haji Muda (Allahyarham Tan Sri), Tuan Guru Haji Yusof  Rawa (Allahyarham) dan Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor (Allahyarham).

Sebelum dipilih sebagai Naib Presiden PAS pada tahun 1987 sehingga tahun 2003. Manakala pada tahun 2003 sehingga tahun 2005 beliau telah diamanahkan sebagai Timbalan Presiden PAS.

Diperingkat Negeri pula, Allahyarham pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1979 sehingga tahun 1982 dan pada tahun 1994 sehingga tahun 2003.

Selain itu, Allahyarham juga pernah memegang pelbagai jawatan dalam PAS antaranya ialah Ahli Jawatankuasa Kerja(AJK) PAS Pusat (tahun 2003 sehingga tahun 2005), Naib Ketua Dewan Ulama’ PAS (DUP) Pusat, Naib Ketua DUP Negeri Selangor dan Ahli Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat dari tahun 1980 sehingga Allahyarham meninggal dunia.



Bertanding Dalam Pilihanraya

Beliau pernah diamanahkan oleh parti bertanding dalam Pilihanraya Umum (PRU) antaranya di Parlimen Sabak Bernam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Besar pada tahun 1969. Manakala pada tahun 1986 beliau telah diamanahkan sebagai calon PAS di Parlimen Batu.

Selepas PAS memperolehi kemenangan di Negeri Terengganu pada tahun 1999 beliau telah dilantik oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, sebagai Ahli Dewan Negara dan telah berkhidmat selama 2 penggal dari tahun 2000 sehingga tahun 2006.

Berkhidmat Dalam Kerajaan

Semasa PAS bergabung didalam Barisan Nasional (Bn), Allahyarham pernah dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiyyah Malaysia (YADIM) dan Ahli Lembaga Majlis Agama Islam Wilayah Persekituan.


Jasa dan Kegigihan

Diantara jasa Ustaz Hassan Shukri yang besar di dalam PAS ialah pembinaan Markaz Tarbiyyah PAS Pusat yang terletak bersebelahan dengan rumahnya. Bermula dengan modal RM20,000, beliau membeli sebidang tanah di situ, sebagai tapak awal untuk membina markas.

Kemudian beliau berbincang pula dengan Yang Dipertua PAS, Allahyarham Yusuf Rawa, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin dan Naib Presiden PAS ketika itu, Ustaz Nakhaei Ahmad (sekarang Dato’) untuk mereka sama-sama membeli tanah dengan harga sekitar RM26,000 bagi meluaskan kawasan markas sekitar tahun 1982. Selain menerima sumbangan wang, markas itu turut didirikan secara bergotong royong pada peringkat awalnya.

Kemudian dengan kebijaksanaan Hassan, beliau mengarahkan setiap satu cawangan PAS menyiapkan satu tiang bangunan tanpa menggunakan jengkaut untuk menggali lubang tapak asas.

Allahyarham juga dikenali sebagai Buku Perlembagaan bergerak PAS, kerana Allahyarham bukan sahaja terlibat dalam merangka Perlembagaan PAS tetapi boleh menghafal setiap Fasal yang terdapat di dalam Buku Perlembagaan PAS. Maka tidak hairanlah jika sekiranya berlaku apa-apa masalah beliau telah dijadikan sebagai Pakar rujuk untuk menghuraikan segala permasalahan tersebut.

Satu kegigihan Allahyarham yang boleh dijadikan sebagai contoh kepada pimpinan PAS dipelbagai peringkat ialah dari segi masa. Allahyarham sangat menepati masa apabila menghadiri pelbagai program yang melibatkannya walaupun ketika itu, Allahyarham hanya dijemput sebagai tetamu.

Semasa hayatnya, Allahyarham juga seringkali dilihat sering menggalas mesin pemotong rumput untuk menebas rumput yang tumbuh dihadapan rumahnya dan disekitar Markaz PAS Taman Melewar.

Jasa dan pengorbanannya kepada PAS memang tiada siapa yang boleh menyangkal, lantaran itu sebuah jalan di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat menuju kerumahnya dinamakan dengan namanya iaitu Lorong Haji Hassan.


Pemimpin Yang Ikhlas Dan Komited

Allahyarham adalah merupakan seorang pemimpin yang benar-benar ikhlas mengabdikan diri dalam perjuangan. Walaupun dalam keadaan susah dan senang jiwanya tetap bersama-sama dengan PAS.

Allahyarham pernah menceritakan pengalamannya sewaktu hendak menghadiri ceramah, ketika itu, Allahyarham dan rakannya tidak mempunyai wang untuk menghadiri ceramah tersebut tambahan pula minyak keretanya sudah habis. Tetapi dengan tawakal beliau dan rakannya terus pergi menghadiri undangan ceramah tersebut. Berkat doa dan bantuan Allah, beliau sampai ditempat ceramah dengan selamat.

Walaupun belia tidak lagi memegang jawatan utama dan parti, beliau terus menghadiri program-program dan majlis-majlis yang memerlukan kehadiran, seolah-olah beliau masih belum bersara lagi daripada politik.

Baginya jawatan bukan landasan untuk bergerak sebaliknya kalau seseorang itu tinggi iltizam kepada

perjuangan oa boleh bergerak atas apa juga kedudukannya. Wibawa dan komitmen beliau bukan kerana jawatan. Dalam hal ini baginya jawatan adalah amanah langsung dari parti dan Allah.

Pendakwah

Allahyarham bukan sahaja terlibat secara aktif dengan PAS, tetapi dalam dunia pendidikan dan dakwah. Allahyarham pernah menubuhkan sebuah Sekolah yang dinamakan sebagai Sekolah Agama Darul Tarbiah sebuah sekolah KAFA yang terletak berhampiran dengan rumahnya.

Allahyarham juga aktif menyampaikan kuliah-kuliah di sekitar masjid dan surau disekitar Taman Melewar dan mempunyai kuliah tetap di Markaz Tarbiah PAS Pusat setiap minggu.


Anugerah

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan kepada ahli dan masyarakat Allahyarham pernah dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N) oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Selain itu, Allahyarham juga pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1430h peringkat Negeri Selangor pada tahun 2009 oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Diperingkat parti pula, Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Selangor telah menganugerahkan kepada beliau sebagai “Tokoh Haji Yusof Rawa” semasa Muktamar DPPN Selangor pada 1 Mei 2010 yang lalu.

Beberapa hari sebelum Allahyarham meninggal dunia DPP Pusat pulah telah menganugerahkan beliau sebagai “Tokoh Pemuda” semasa perasmian Serentak Muktamar Dewan Ulama’ PAS (DUP), DPP dan Dewan Muslimat PAS (DMP) Pusat di Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan (PUTIK) dan telah disampaikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Allahyarham telah menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas pulang daripada menghadiri Muktamar PAS kali ke-56 yang diadakan di Pusat Tarbiyyah Islamiah Kelantan (PUTIK) pada 14hb Jun 2010 yang lalu di Hospital Selayang. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya dan ditempatkan dikalangan para syuhada. Al-Fatihah.